Saturday 17 November 2012

HIKMAH BERPUASA


  • Melatih diri menjadi seorang hamba yang dekat dengan Allah
  • Menginsafi diri sendiri sebagai hamba Allah yang lemah
  • Melatih diri sentiasa taat kepada perintah Allah
  • Melatih diri agar menjadi orang yang amanah
  • Melahirkan perasaan kasih sayang dan tolong-menolong
  • Menguatkan keimanan kepada Allah
  • Dapat menahan diri dari mengikut keinginan nafsu
  • Sebagai tanda kesyukuran dan terima kasih kepada Allah
  • Dapat menyucikan diri dan meninggikan tahap keikhlasan hati
  • Memelihara diri dari terjatuh ke lembah maksiat dan dosa
  • Menyihatkan badan dan melatih diri untuk hidup lebih berdisiplin
  • Menerima ganjaran yang dijanjikan Allah jika ikhlas, dengan diampunkan dosa-dosa yang lalu
  • Menimbulkan perasaan insaf dan belas kasihan orang-orang kaya terhadap orang miskin yang hidup menderita
  • Dapat melatih diri supaya bersifat sabar, tabah menghadapi penderitaan, kesusahan dan segala cubaan dari Allah terhadap kita

Saturday 10 November 2012


RAMADHAN BULAN PELBAGAI GELARAN

Sebenarnya, kalau kita tahu, bulan Ramadhan adalah ada banyak nama dan gelarannya sesuai dengan hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya. Berusahalah kita mengambil manfaat daripada kelebihan-kelebihan yang ada di sepanjang bulan ini. Maha Suci Allah Tabaraka Wa Ta’ala, Ya Zaljali wal Ikram.

Bulan Puasa
Kerana Allah memerintahkan kita berpuasa sempurna selama sebulan di bulan ini

Bulan Nuzul Quran
Kerana pada bulan inilah Al-Quran diturunkan Allah dari sisi-Nya ke langit dunia. Firman Allah: “Pada bulan Ramadhan itu diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk pada umat manusia.”
(Al-Baqarah:185)

Bulan Lailatul Qadar
Kerana ada satu malam di akhir bulan ini telah ditakdirkan Allah berlaku padanya. Al-Qadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Bulan Penghulu Bulan
Terpilih dari sebelas bulan yang lain kerana ia adalah sebaik-baik bulan sebagaimana Nabi Yusuf A.S. adalah insan pilihan di kalangan sebelas orang saudaranya

Bulan Hadiah
Kerana ia dianugerah khusus buat umat Nabi Muhammad S.A.W. Tidak kepada umat-umat lain.

Bulan Keampunan
Kerana orang yang berpuasa serta beribadat di dalamnya dengan mengharap keredhaan dan kasih sayang Allah S.W.T. akan dibersihkan(diampunkan) segala dosanya yang terdahulu dan kemudian. Pada bulan ini, Allah memberitahu kita bahawa dia akan mengampun dosa-dosa hamba-Nya seberat dan sebanyak mana pun dosanya itu sekiranya mereka juga tidak jemu-jemu bertaubat dan beristighfar kepada-Nya

Bulan Gandaan
Kerana setiap amalan yang ikhlas pada bulan ini, wajib mahupun sunat digandakan ganjaran pahalanya berlipat kali ganda, hatta pahala ibadah puasa sendiri. Kadar pahalanya menurut kehendak dan kemahuan-Nya.

Bulan Keberkatan
Kerana setiap perkara, amalan dan ibadah malah sepanjang bulan ini penuh dengan keberkatan. Kerana itu, kita menyebut Ramadhan Al-Mubarak yakni Ramadhan yang diberkati.

Bulan Ibadah
Boleh diberi maksud bulan “Karnival”-pesta ibadah, kerana selain berpuasa pada bulan ini juga umat Islam akan sama-sama mengerjakan solat berjemaah, bertarawih, berbuka puasa, bertilawah, bertadarus, berqiamullail, bersahur bersedekah di samping terus menuntut ilmu yang bermanfaat, mentadbir, berzikir, menjaga keselamatan, mengurus rumahtangga, mendidik, bergotong-royong, bersilaturrahim, mencari rezeki yang halal dan lain-lain. Semuanya menjadi ibadah sekiranya betul niat serta bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah.

Bulan Kemuliaan (Bulan Rahmat)
Kerana pada bulan ini seluruh syaitan akan ditangkap dan dirantai, dan seluruh pintu syurga akan dibuka seluas-luasnya dan semua pintu neraka ditutup serapa-rapatnya bagi memuliakan Ramadhan dan merahmati mukmin yang ikhlas beramal ibadah di dalamnya. Juga kerana Allah melimpahkan rahmat-Nya secara meluas pada bulan yang mulia ini. Sabda Rasulullah S.A.W. : “Ramadhan itu awalnya, pertengahannya keampunan dan akhirnya pelepasan api neraka.”

Bulan "Junnah Hasinah"
Yakni bulan perisai atau bulan pendinding (Riwayat Al-Baihaqi). Kerana puasa yang sebenar itu puasa yang dapat membentengi diri dari segala bentuk kejahatan dan juga benteng kepanasan api neraka.

Bulan Kesabaran
Ibadah puasa sangat menuntut kesabaran kerana nafsu cuba meleburkannya. Justeru, setiap mukmin haruslah bersabar dalam menjalani ibadah puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Sabar mengekang keinginan nafsu yang keji. Sabar memelihara puasa daripada melakukan perkara-perkara yang membatak dan melenyapkan pahalanya.

Bulan Riadah
Sedar atau tidak sebulan Ramadhan ini umpama satu kursus atau sebuah madrasah. Kita rekrutkan di sini selama sebulan dengan pelbagai program dan pengisian dengan tujuan menjadi pedoman dan panduan untuk dipraktik dan diamalkan pada sebelas bulan akan datang.

Bulan Takwa
Tujuan dan matlamat puasa ialah untuk membina takwa dengan usaha, perjuangan dan pengorbanan yang berterusan. Dari Ramadhan hinggalah ke bulan seterusnya.

Bulan Keihlasan
Di bulan ini kita diingatkan betapa pentingnya keikhlasan dalam beribadat dan apa jua amalan soleh. Hanya orang yang berpuasa dengan penuh keikhlasan sahajalah yang akan diampunkan dosanya terlebih dahulu dan terkemudian.

Bulan Jihad (Mujahadah)
Orang yang berpuasa sebenarnya sedang berperang dengan keinginan nafsunya yang keji lagi tidak pernah puas. Sedangkan berjihad melawan melawan hawa nafsu itu adalah jihad yang besar menurut hadis Nabi S.A.W.

Bulan Mustajab Doa
Sepanjang bulan Ramdhan itu, sangat makbul berdoa khasnya di waktu berbuka. Sabda Rasulullah s.a.w “Bagi orang yang berpuasa itu ada waktu yang mustajab doa pada waktu berbuka”. (Riwayat: Ibnu Majah, Al-Hakim, Abu Daud. Al-Toyalisi dan Baihaqi)

Bulan Zakat Badan
Sekiranya zakat harta itu bertujuan membersihkan harta maka puasa pula ialah zakat bagi tubuh badan yang diamanahkan  Allah kepada kita. Sabda Rasulullah s.a.w: “Bagi setiap sesuatu itu zakat bagi jasad itu ialah puasa”. (Riwayat: Ibnu Majah)

Bulan Al-Farah (Kegembiraan)
Para mukminin sangat ceria, terhibur dan bergembira di bulan Ramadhan, bahkan sebelum ketibaan Ramadhan lagi. Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya bagi  orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan ya yakni ketika berbuka puasa dan bertemu Allah s.w.t”.

Bulan Kesihatan
Kesihatan adalah anugerah Allah kepada muslim yang ikhlas berpuasa kerana-Nya. Maka berpuasalah kerana mengharapkan keredhaan Allah, bukan kerana diet atau kesihatan.

Bulan Syafaat
Sabda Rasulullah s.a.w: “Puasa dan Al-Quran itu akan member syafaat kepada hamba-hamba (dengan izin Allah) pada hari kiamat nanti”. (Riwayat: Ahmad dan Tabrani)

Bulan Penghapus Dosa
Ramadhan menjadi pelebur dan penghapus dosa (dosa-dosa kecil) dalam bentuk tahunan dengan syarat Ramadhan itu dihayati sepenuhnya.

Bulan Keimanan
Selain menyuburkan keimanan, ia juga menuntut segala bentuk pengabdian dipersembahkan juga dengan penuh  keimanan, mengharapkan rahmat daripada Allah s.w.t.

Bulan Kebajikan
Sekiranya selama ini sudah ada kecintaan  kita pada amalan sedekah dan memberi bantuan kepada meraka yang tidak mampu, maka pada bulan Ramdhan ini, amalan  kebaikan dan kebajikan  itu hendaklah ditingkatkan. Ini adalah salah satu  sunnah Rasulullah s.a.w. dalam menghidupkan Ramadhan.